Yana Samsudin dikuarantin di wad
Kuala Lumpur : Hasil ujian darah yang menunjukkan serangan influenza membuatkan pelakon, Yana Samsudin dikuarantin di wad untuk beberapa hari.
Suaminya, Fadzil Zahari ketika dihubungi Harian Metro berkata, isterinya perlu menjalani proses kuarantin bagi mengelakkan penularan jangkitan virus berkenaan.
"Selepas ujian darah, doktor sahkan Yana dijangkiti influenza yang memerlukannya dikuarantin untuk beberapa hari kerana virus ini berjangkit.
"Sejak Isnin dia mengadu tidak sedap badan tetapi tetap datang ke pejabat bagi menguruskan tugasan selepas lebih tiga minggu kami mengikuti jelajah promosi.
Pada mulanya saya fikir dia kepenatan hinggalah kelmarin dia mula muntah, sakit kepala yang kemudian disusuli suhu badan naik mendadak.
"Awalnya Yana cuma ambil paracetamol dan enggan ke hospital hingga perlu dipujuk disebabkan dia rasa itu cuma demam biasa," katanya.
Susulan itu, Yana diberikan rawatan lanjut dan semakin menunjukkan perkembangan positif sejak dimasukkan ke hospital.
"Alhamdulillah, tahap kesihatannya semakin meningkat cuma belum punya selera makan. Minta doakan Yana segera sembuh.
Saya pun tak dapat menemaninya kerana keadaannya ketika ini, malah saya serta anak-anak diminta menjalani ujian darah untuk mengesan sama ada kami bebas daripada virus itu," katanya.
Sementara itu, Fadzil turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku apabila Yana terpaksa membatalkan atau menunda beberapa komitmen yang sudah dipersetujui sebelum ini.
"Sebenarnya kami dijadualkan ke Johor Bahru untuk sebuah pesta jualan bersama pasukan Ifa Raziah, tetapi berlaku pula kekangan ini.
"Kami meminta maaf atas situasi yang tidak dapat dielakkan dan berharap semuanya dilancar serta dipermudahkan," katanya.
Yana,38, mendirikan rumah tangga dengan Fadzil pada 13 Februari 2015 dan dikurniakan dua anak iaitu Aisy Mateen, 6; dan Aura Aisy Sofea yang kini berusia setahun lapan bulan