Vanidah Imran gembira Rashidi Ishak pilih Wan Hasliza sebagai isteri
BIARPUN sudah berpisah, pelakon Vanidah Imran mengakui dia tumpang gembira dengan perkahwinan bekas suaminya iaitu aktor Rashidi Ishak dengan pengarah Wan Hasliza Wan Zainuddin.
Menurut Vanidah atau mesra disapa sebagai Vee, dia sudah lama mengenali Wan Hasliza dan memuji keperibadian wanita tersebut.
“Sebenarnya saya dah lama kenal Liza, malah pernah berlakon dalam filem di bawah arahannya. Bagi saya, Liza seorang yang baik dan saya sebenarnya sangat gembira bila dapat tahu Rashidi memperisterikan dia.
“Sejujurnya, saya sudah lama tahu mereka nak berkahwin tapi takkan la saya nak beritahu orang lain sebelum mereka sendiri umum,” kata Vanidah kepada Gempak.Vanidah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berjudul Imam di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Vanidah lagi, dia berasa lega apabila Rashidi memilih Hasliza sebagai isteri memandangkan wanita itu seorang yang berpendidikan.
“Saya beritahu anak perempuan saya yang dia mesti akan suka dengan Hasliza. Sebab Hasliza seorang yang berpendidikan, bijak dan menyenangkan.
“Selepas anak saya jumpa Hasliza, dia turut menyukai Hasliza yang sememangnya sangat menyenangkan. Jadi, saya lega kerana Rashidi memilih dia sebagai isteri.
Dia pun seorang yang matang dan saya yakin kelebihan itu membolehkan dia untuk mengendalikan hidup berumah tangga dengan baik. Apa pun, kami sangat okey dengan perkahwinan mereka,” ujarnya.
Untuk rekod, Vanidah mendirikan rumah tangga dengan Rashidi pada 1 Oktober 2000 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail Imran dan Maryam Rashika.
Namun rumah tangga yang dibina selama 17 tahun musnah apabila mereka memutuskan untuk bercerai pada 9 Ogos 2018.
Pada Julai tahun lalu, Vanidah selamat bergelar isteri kepada seorang jurutera, Arifabillah Idris manakala Rashidi pula berkahwin dengan Hasliza sekitar Februari tahun ini.
* Artikel asal disiarkan di Gempak.