Pasangan guru maut, tiga anak cedera [METROTV]
Kemaman: Pasangan suami isteri maut, manakala tiga anaknya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki kemalangan di Kilometer 274, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Cheneh, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang, Arbain Baharudin, 47, dan isterinya, Rosmayati Bakar, 48, dari Taman Pinggiran Saujana, Kajang maut di tempat kejadian.
Tiga anak pasangan terbabit, Farah Najwa, 20, Fatin Najla, 10, dan Faikal Nabila, 8, masing-masing mengalami kecederaan.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila MPV Toyota Estima yang dipandu Arbain terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya lalu terbalik.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri terbabit dalam perjalanan dari Kajang dan sempat menghantar seorang anaknya yang belajar di Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) Kuantan.
Beliau berkata, mereka kemudian menyambung perjalanan ke rumah keluarga Rosmayati di Kampung Gelugur Kerteh, Kemaman sebelum kemalangan berlaku.
Berikutan kemalangan itu, pasangan suami isteri yang juga guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang itu tercampak lima hingga 10 meter dari kenderaan mereka dan disahkan maut di tempat kejadian.
"Tiga anak mangsa yang cedera sudah dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mayat kedua-kedua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital sama untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.