'Kalau suami curang, saya tumbuk muka dia, bukan tarik tudung perempuan tu' - Che Ta
Kuala Lumpur: Pelakon Rozita Che Wan, 50, sangat menghormati cara dan tindakan diambil Mizz Nina dalam menangani kemelut rumah tangganya bersama bekas suami, Noh Salleh apabila terus ke pejabat agama untuk diselesaikan.
Rozita yang mesra disapa Che Ta berkata, kisah 'orang ketiga' dan pasangan curang ketika ini menjadi bualan hangat orang ramai terutama bila segala permasalahan dikongsikan pihak isteri di media sosial.
Saya sangat tabik dengan cara Mizz Nina, dia terus ke pejabat agama. Tak perlu buka aib pasangan di media sosial pun, tapi selesaikan segera. Ia cara yang bagus atau lebih baik diam.
"Malah, golongan isteri yang berhadapan masalah suami curang, jangan hanya meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada 'orang ketiga' atau 'penyondol' itu saja, tetapi salahkan juga suami.
"Hubungan sulit tidak akan terjadi sekiranya kedua-dua pihak tidak memainkan peranan. Saya sebenarnya tak suka apabila lelaki yang ada hubungan dengan wanita lain, tapi isteri hanya salahkan wanita itu saja," katanya yang hadir di majlis pelancaran logo kedai emas, baru-baru ini.
Che Ta berkata, dia juga tidak akan berkompromi jika suaminya, Zain Saidin terbabit dalam isu curang.
Katanya, setakat ini cukup dia sudah memberikan sekali peringatan kepada Zain agar bercakap benar dan berterus terang.
"Kalau suami saya ada hubungan, saya tumbuk muka dia, bukannya tarik tudung perempuan itu. Sebabnya, suami pun gatal juga dan ia takkan 'menjadi' jika kedua-duanya tidak sama naik.
"Jadi, kalau suami saya diganggu, saya akan marah Zain dulu dan bukan naik hantu dengan perempuan itu. Sebabnya, suami pun tidaklah baik sangat. Jadi, kenapa saya perlu marah kepada wanita itu seorang?," katanya.
Pelakon drama Kiah Pekasam ini berkata, dia juga berharap mana-mana individu yang berhadapan masalah dengan pasangan dan 'orang ketiga' agar berfikir panjang sebelum meluahkan sebarang hal sensitif suami isteri di media sosial.
Che Ta bertemu jodoh kali kedua dengan Zain dan bernikah pada Disember 2013. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana, 9.
Selain itu, Che Ta juga memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan pertamanya.