Syafiq akhirnya tayang wajah isteri, bakal bergelar bapa
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Syafiq Farhain, 29, mengesahkan isterinya, Alia Nadia, 29, kini hamil lima bulan.
Syafiq dan Alia mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober, tahun lalu memohon orang ramai mendoakan yang baik-baik untuk mereka sekeluarga.
"Ya, isteri sedang hamil lima bulan. Jadi, saya berharap sesiapa yang baca berita ini mendoakan isteri dan bayi saya sihat serta selamat.
"Insya-Allah, isteri akan melahirkan anak pertama sekitar Mei atau Jun depan. Jujurnya, macam-macam saya fikir apa yang saya buat nanti.
Tetapi, jika tanya saya sudah bersedia atau belum, semestinya saya kena bersedia. Saya bersyukur semuanya berjalan, isteri juga tiada masalah alahan atau sebagainya," katanya kepada BH Online.
Syafiq menjawab pertanyaan media mengenai kehamilan isteri yang juga pengurusnya pada sidang media Jelajah Amal Solidariti Untuk Iskandar Spring di sebuah restoran, di sini, petang tadi.
Terdahulu, anak kepada penyanyi legenda, Allahyarham Saleem itu berkahwin di negeri kelahirannya di Besut, Terengganu. Alia juga adalah rakan sekampungnya.

Bagaimanapun, pada awalnya, Syafiq merahsiakan berita pernikahan dan hanya berkongsi ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan MVM dan Rusa Music, April tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Syafiq berkata, dia gembira dapat terbabit dengan Jelajah Amal Solidariti Untuk Iskandar Spring yang akan diadakan di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman, Ahad ini.
Persembahan percuma ini akan bermula antara jam 2.30 sehingga 6.30 petang.
Alhamdulillah, saya akan menyanyikan empat lagu. Pasti lagu yang dinyanyikan adalah lagu kumpulan Iklim.
"Saya berharap jelajah ini akan dapat sambutan dan sokongan ramai untuk membantu Iskandar yang sangat memerlukan," katanya.
Iskandar atau nama sebenarnya, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail kini lumpuh dan menderita pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, kesukaran bertutur dan dalam masa sama, perlu menjalani dialisis akibat komplikasi buah pinggang.