Wanita maut kemalangan, tinggalkan anak masih kecil
ROMPIN: Seorang wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya bertembung dengan lori membawa muatan kelapa sawit dalam kemalangan di Jalan Selendang, Kuala Rompin, di sini pagi tadi.
Mangsa, Nur Natrah Daharuddin, 26, berasal dari Felda Selendang di sini disahkan maut di tempat kejadian akibat.
Berdasarkan maklumat awal, mangsa maut dipercayai tersepit dalam kenderaan dipandunya itu.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 9.43 pagi.
“Seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin terbabit dalam operasi itu.
“Mangsa yang maut berjaya dikeluarkan dari kenderaan menggunakan peralatan khas (rescue tools) manakala seorang lagi lelaki dipercayai pemandu lori sawit hanya mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Rompin untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, kata Zulfadli, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN