Askar wataniah maut kemalangan pada Hari Malaysia, kereta bertembung trak tentera
Dalam nahas kira-kira pukul 3.30 petang itu, Nur Faiezah Aminah Shuib, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada leher, kepala dan beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta mangsa hilang kawalan sebelum melanggar tembok pembahagi jalan serta masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan trak tentera tersebut.
“Difahamkan, kemalangan berlaku ketika kereta mangsa dalam perjalanan dari arah Tangkak menuju ke Segamat. Susulan itu, kenderaan Proton Saga berwarna kelabu mangsa berkenaan terperosok di bawah hadapan trak tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.
Anggota tentera yang memandu trak terbabit tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN