Pelajar Malaysia Meninggal Di Mesir & Dikebumikan Di Jabal Muqattam, Rupa-Rupanya Menyimpan Satu Rahsia Besar Dalam Hidupnya
Pelajar Malaysia Meninggal Di Mesir & Dikebumikan Di Jabal Muqattam, Rupa-Rupanya Menyimpan Satu Rahsia Besar Dalam Hidupnya
Orang kata kebaikan yang disembunyikan seseorang akan terlihat ketika dia nanti sudah meninggal dunia. Jika semasa hayatnya dia berusaha untuk menutupinya, di hujung hayat nanti Allah akan pamerkan untuk pengajaran semua. Kisah pelajar Malaysia meninggal di Mesir beberapa tahun lepas menjentik satu rasa keinsafan dalam diri bila mana dia diberikan keistimewaan untuk dikebumikan berhampiran makam para aulia.
Pelajar Malaysia meninggal di Mesir sehari selepas pulang
Kisah yang tular dari perkongsiaan Facebook seorang pelajar Malaysia, Ahmad Sobir yang menuntut juga di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Menerusi perkongsian itu, dia cukup terkesan dengan pemergiaan seorang mahasiswi Kuliah Bahasa Arab universitinya iaitu Nurul Huda Binti Mohd Shulaudin.
Pemergiaan mengejut itu sesuatu yang tidak disangka-sangka oleh ahli keluarga dan rakan-rakan. Huda yang baru kembali semula ke kampus Mesir setalah bercuti semester selama 6 bulan bermula dari penghujung September 2020 di kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan telah pun meninggal dunia secara tiba-tiba.
Huda menghembuskan nafas terakhirnya pada tepat jam 7.27 pagi (waktu Mesir) di Hospital Rabaah, Kaherah. Dia yang bertolak pulang ke Mesir pada hari Rabu, kemudian disahkan meninggal dunia pada hari Jumaat iaitu hanya selang sehari selepas kembali pulang.
Memberikan petanda yang agak janggal seperti mengadu sedikit sesak nafas membuatkan rakan-rakan Huda tidak terfikir sama sekali itulah pengakhiran seorang insan mulia.
Ibu bapa turut terkejut mendengar berita kematian
Ibu bapa mana yang tidak bersedih melepaskan seorang anak yang ditatang bagai minyak yang penuh untuk kembali semula kepada Pencipta Nya. Benar sekali, kematian pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Bahasa Arab yang pulang bercuti ke kampung merupakan momen terakhir mereka sekeluarga bersama-sama.
Bapa arwah, Mohamad Shulaudin Dollah, 44, berkata, dia masih terkejut menerima berita kematian Huda kerana anak sulungnya itu baru sahaja pulang ke negara berkenaan dua hari sebelumnya dan masih dalam tempoh kuarantin.
“Saya mendapat berita kematian Huda pada tengah hari Jumaat lalu. Saya terkejut kerana dia tidak pernah mengadu sakit apatah lagi sesak nafas sepanjang enam bulan berada di rumah, ” katanya.
Sementara ibunya, Zawiah Hassan, 41, berkata walaupun sedih dan hiba dengan pemergiaan mengejut anak kesayangannya itu tetapi dia tetap redha dengan takdir yang tealah ditetapkan dan sentiasa mendoakan kesejahteraan arwah.
Bahkan, kata ibunya dalam diam Huda menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk membawa dia dan suami ke Universiti Al-Azhar pada hari graduasinya kelak pada tahun 2022 nanti. Namun impian tidak kesampaian untuk melihat Huda memegang segulung ijazah.
Satu-satunya rakyat Malaysia yang dikebumikan di tanah perkuburan bersama para aulia Mesir
Nurul Huda dikebumikan di Jabal Muqattam yang turut menempatkan para ulama tersohor seperti Imam Syafie, Muhammad Abdul Baqi’, dan Imam Waqi’. Para ulama menamakan Muqattam sebagai “Baqi’ Mesir” kerana kemuliaan yang ada padanya.
Baqi’ adalah perkuburan di Madinah, manakala Muqattam disebut Baqi’ Mesir. Bukit yang menghadap Kubu Salahuddin Al-Ayubi dikira perkuburan Islam terbesar di Mesir. Semasa pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab RA, beliau memerintahkan Gabenor Amri bin Al-‘As untuk menjadikan Muqattam sebagai perkuburan bagi umat Islam.
Oleh itu, bersemadilah arwah beberapa jasad para sahabat, ratusan ulama dan aulia’ Allah. Sungguh beruntung disemadikan berhampiran sahabat Nabi seperti ‘Amru bin Al-As, Uqbah bin ‘Amir para auliya Sayyidi Ibnu ‘Atoillah As-Sakandari, Al-Imam Abdullah bin Abi Jamrah, Sayyidi Ibnu Sayyidi Nas, Sayidi Zun Nun Al-Misri, Sayyidi ‘Umar Al-Faridh, Sayyidi Muhammad Al-Wafa dan Sayyidi Ali Al-Wafa. RA.
Amalan setiap hari yang menakjubkan bagi seorang anak muda
Berkongsi pengalaman semasa pergi ke Kelantan selepas berkuarantin ketika arwah di Malaysia, Ahmad Soberi sempat duduk sebaris dengan arwah. Dan dia menyaksikan amalan arwah yang sungguh menakjubkan.
“Saya seat single ditengah dikosongkan untuk social distancing. Apa yang dilihat amalannya sungguh menakjubkan. Melazimi Ratib Al-Haddad, suka berqasidah sepanjang perjalanan dan tasbih sentiasa di tangan,” luah rakan sepengajiannya itu.
Malah apabila ditanya kepada rakan-rakan arwah, amalan lain yang turut dilakukannya juga tidak pernah tinggal solat tahajud, suka berdamping dengan Al-Quran, dan sentiasa solat di awal waktu secara berjemaah.
Sungguh pemergiaan Nurul Huda adalah satu rahmat untuk keluarga dan rakan-rakannya kerana perginya dalam keadaan sungguh mulia, husnul khatimah.
Nabi SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah: “Secerdik-cerdik manusia ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersungguh-sungguh bersiap sedia. Mereka ialah orang yang benar-benar cerdik, mereka pergi (ke alam baqa) dengan membawa kemuliaan dan kemuliaan akhirat.”
Sumber: Facebook Ahmad Sobir, Keluargar Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir